Klik Untuk Maklumat Lanjut
Pengumuman Terkini

Berita & Kejayaan

Bengkel Persediaan Temu Duga Pengambilan Calon Guru Tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2024

Kolej Matrikulasi Labuan - Pada 15 Mac 2024, sebuah bengkel persediaan temu duga bagi calon guru tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia telah diadakan dengan jayanya di Dewan Kuliah 6, Kolej Matrikulasi Labuan. Menghimpunkan seramai 78 orang calon, bengkel ini memberi penekanan kepada aspek-aspek persediaan dan penampilan diri dalam menjalani sesi temu duga yang bakal dihadapi mulai 18 hingga 20 Mac 2024.

Acara bermula pada pukul 2.00 petang dengan sesi pendaftaran peserta dan kata alu-aluan oleh pengerusi majlis sebelum taklimat dilaksanakan. Terdapat empat taklimat penting yang disampaikan oleh pakar-pakar dalam bidang pendidikan yang membincangkan aspek yang penting bagi calon-calon pensyarah yang bakal menghadapi temu duga.

Pn. Norhawana binti Mohd Nor, Penyelaras Pusat Temu Duga Kolej Matrikulasi Labuan, telah menyampaikan taklimat pertama pada pukul 2.30 petang mengenai ringkasan perjalanan sesi temu duga. Beliau menekankan pentingnya persediaan yang baik sebelum menghadiri temu duga.

Pukul 2.40 petang, Dr. Yeo Lian Ming, pensyarah akademik unit Matematik, memberikan taklimat mengenai persediaan dan penampilan diri untuk temu duga. Beliau memberi nasihat dan tips berguna kepada calon agar dapat memberikan kesan yang positif kepada panel temu duga.

Sesi taklimat seterusnya pada pukul 3.00 petang dijalankan oleh En. Mahid bin Masseluang, yang membincangkan teknik menjawab soalan temuduga. Beliau memberikan contoh-contoh soalan yang mungkin timbul dalam sesi temu duga dan bagaimana calon boleh menjawab dengan bijak.

Pn. Sitti Hadijah binti Maharram mengendalikan taklimat terakhir pada pukul 3.20 petang, yang membincangkan persediaan alat bantu mengajar (ABM). Beliau menggariskan kepentingan penggunaan ABM yang efektif dalam proses pengajaran ringkas semasa sesi temu duga nanti.

Majlis diserikan lagi dengan ucapan oleh Tuan Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, En. Mohd Mahyuddin Bin Mohd Noordin. Beliau memberikan nasihat dan harapan yang tinggi agar calon-calon temu duga dapan melakukan yang terbaik seterusnya terpilih sebagai pemegang biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia untuk Program Pelajar Cemerlang tahun ini.

Sesi fotografi bermula pada pukul 3.40 petang, diikuti dengan sesi soal jawab pada pukul 3.50 petang dan semakan dokumen pada pukul 3.55 petang. Bengkel berakhir pada pukul 4.30 petang dengan harapan bahawa calon-calon temu duga yang telah menghadiri bengkel ini akan dapat menghadapi temu duga dengan keyakinan dan keberanian yang tinggi.